Pengusaha ladang ditahan kerana seludup empat PATI 

Pengusaha ladang ditahan seludup PATI 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang pengusaha ladang ditahan selepas cuba menyeludup empat pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia di sekatan jalan raya (SJR) sempena Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Tol Gurun dekat sini semalam.

Turut ditahan ialah pemandu kereta jenis Nissan Almera yang membawa empat pekerja warga asing terbabit.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mereka ditahan pada pukul 1.15 pagi dan pemeriksaan mendapati kereta tersebut dipandu lelaki berusia 37 tahun yang juga penjawat awam.

“Kesemua empat penumpang warga asing gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah kepada pihak polis.

“Selang setengah jam kemudian, datang seorang lelaki berusia 44 tahun mengaku telah mengupah pemandu terbabit untuk menghantar empat pekerja Indonesia dari Kuala Lumpur ke Kedah,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Katanya, pengusaha ladang itu kemudian meminta supaya mereka dilepaskan, bagaimanapun polis bertindak menahan kesemua mereka bagi membantu siasatan.

Menurut Adzli, siasatan mendapati pengusaha ladang tanaman serta ternakan di Sik dekat sini itu dalam proses mencari pekerja untuk bekerja di ladangnya selepas pekerja lama berhenti.

“Hasil pencarian di Facebook, pengusaha ladang telah berhubung dengan seorang lelaki warga Indonesia berusia 33 tahun yang kemudiannya bersetuju untuk mencari tiga lagi rakan lain berusia antara 35 hingga 37 tahun untuk bekerja di ladang.

“Pengusaha ladang itu kemudiannya telah mencari kereta sewa melalui Facebook dan telah membuat perbincangan dengan pemilik kenderaan terbabit (Nissan Almera),” ujarnya.

Katanya, hasil perbincangan, pengusaha ladang bersetuju membayar upah RM 1,000 kepada pemilik kereta sewa tanpa lesen itu bagi menghantar empat pekerja Indonesia dari Kuala Lumpur ke Sik dengan bayaran pendahuluan RM200.

Tambahnya, kedua-dua suspek warga tempatan direman di bawah Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) manakala empat warga Indonesia akan direman di bawah Akta Imigresen untuk siasatan lanjut. 

“Kita juga turut menjalankan siasatan lain di bawah Sekyen 26 A ATIPSOM 2007, Sekyen 6 (1) ( c ) Akta Imigresen 1959/63 dan  Seksyen 11 ( 5 ) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit  Berjangkit 1988,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya