GUA MUSANG: Pengedar daun ketum tidak serik mengulangi kegiatan sama apabila ditahan buat kali ketiga bersama bahan terlarang itu, di Simpang Kampung Sungai Asap A di sini kelmarin.
Suspek berusia 26 tahun ditahan ketika membawa muatan daun ketum seberat 400 kilogram yang dianggarkan bernilai kira-kira RM4,000 dalam kereta dipandunya pada pukul 11.40 pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Superintendan Sik Choon Foo berkata, daun ketum terbabit dibawa oleh suspek dari utara melalui Simpang Pulai, Ipoh menuju ke Cameron Highlands dan Sungai Koyan sebelum tiba di Gua Musang.
“Pada mulanya anggota kereta peronda (MPV) cuba menahan sebuah kereta Proton Persona kerana dipandu dalam keadaan mencurigakan, namun, pemandunya bertindak memecut lebih laju.
“Suspek berjaya ditahan ketika tiba di simpang Kampung Sungai Asap A dan pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan plastik hitam berisi daun ketum dalam kereta,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Choon Foo berkata, hasil siasatan mendapati suspek sebelum ini sudah dua kali ditangkap polis atas kesalahan sama iaitu membawa masuk daun ketum yang diambil dari utara tanah air ke negeri ini.
Dalam kes berasingan, Choon Foo memberitahu, pihak polis berjaya merampas 360 kilogram ketum yang disembunyikan dalam sebuah kereta jenis Honda Civic FD, kira-kira pukul 1.30 petang hari sama.
Katanya, kereta terbabit ditinggalkan di kawasan sebuah rumah kosong di Kampung Renok Baru oleh pemandunya selepas menyedari dia diintip anggota polis.
“Terdapat sebanyak 36 plastik hitam dengan anggaran 360 kilogram daun ketum bernilai RM3,600 di dalam kenderaan tersebut,” katanya sambil memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.
Tambah beliau, Jalan Gua Musang sering menjadi pilihan pengedar membawa masuk daun ketum untuk pasaran tempatan atau Thailand kerana beranggapan jalan itu lebih selamat berbanding pintu masuk Kelantan yang lain. -UTUSAN ONLINE