SEREMBAN: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi akan membincangkan serta mengkaji hasrat pihak industri perkayuan, perabot dan perladangan yang meminta pengecualian dalam dasar pengambilan pekerja asing ketika ini.
Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, perkara itu selepas mengambil kira masalah kekurangan tenaga kerja yang dihadapi industri terbabit ekoran kerajaan melaksanakan dasar menghentikan pengambilan pekerja asing.
“Pihak industri memohon supaya saya berbincang untuk mendapatkan kelulusan pengecualian terhadap dasar sedia ada (pengambilan pekerja asing), saya hanya boleh membawa perkara ini untuk dibincangkan terlebih dahulu di peringkat kementerian.
“Saya sudah mengarahkan supaya dibuat satu kertas kerja yang menunjukkan kepentingan ketika sektor ekonomi lain berdepan masalah, yang tinggal hanya sektor perkayuan dan perladangan untuk kerajaan bangkit dalam ekonomi. Menerusi alasan itu, kita boleh lihat ruang untuk bantu dan beri pengecualian kepada sektor perladangan dan perabot,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke kilang perabot Syarikat Heveapac Sdn. Bhd. di Sungai Gadut, dekat sini.
Jelas Mohd. Khairuddin, perkara tersebut tentunya bergantung kepada kelulusan kerajaan dan melibatkan syarat yang amat ketat.
“Saya akan cuba menilai keperluan mereka tapi syarat yang dikenakan mestilah ketat kerana ia melibatkan pengambilan pekerja asing kerana keutamaan kita sekarang adalah rakyat tempatan. Kita bimbang dengan jangkitan Covid-19, kalau dalam negara sendiri berlaku hingga terpaksa lakukan darurat, tentukah kehadiran warga asing itu menjadi bebanan juga kepada kita.
“Perlu dilihat bagaimana sektor perkayuan, perabot dan perladangan boleh memberi jaminan tidak berlaku peningkatan kes Covid-19, kita berhadapan baru-baru ini dalam sektor sarung tangan, ia juga melibatkan asrama pekerja. Saya tekankan kepada sektor perabot, adakah mereka mampu menyediakan asrama yang selamat hingga tidak berlaku jangkitan dan tidak berjangkit kepada rakyat tempatan,” katanya.
Sementara itu beliau berkata, ekoran sektor perladangan dan komoditi merupakan antara lima sektor ekonomi perlu yang dibenarkan beroperasi ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri sehingga 26 Januari depan, beliau berharap pihak industri dapat memberikan kerjasama dengan memastikan tidak berlaku jangkitan Covid-19.
“Pihak kementerian kini perlu menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sepanjang tempoh PKP dan juga darurat yang berlaku, sebab itu kami minta agar pihak industri memberikan kerjasama dengan kami dalam memastikan tidak berlaku jangkitan Covid-19,” katanya.