SUNGAI PETANI: Seorang pengawal keselamatan yang tidak pulang ke rumah sejak dua hari lalu ditemukan mati dalam longkang di Jalan Sungai Layar di sini semalam.
Mangsa berumur 50 tahun ditemui orang awam yang melalui lokasi berkenaan sebelum memaklumkan kepada polis pada pukul 7.15 petang.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, polis yang menerima maklumat kemudian ke tempat kejadian dan menemui mangsa terbaring di sebelah motosikalnya dalam longkang itu.
Katanya, siasatan di tempat kejadian, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Taman Seri Tanjong ke rumah kakaknya di Taman Sungai Layar, namun tiba tempat kejadian motosikal jenis Honda Wave ditunggang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam longkang.
“Siasatan dengan warisnya mendapati mangsa tidak pulang ke rumahnya di Taman Ria selesai tugasan di Bukit Banyan dekat sini pada pukul 8 pagi, 24 Januari lalu.
“Bagaimanapun, tiada laporan polis dibuat berkaitan kehilangannya sehingga mangsa ditemui petang semalam,” katanya.
Adzli berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN