KUALA LUMPUR: Pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan melakukan rompakan secara berkumpulan terhadap seorang tukang kayu warga Bangladesh, Ahad lalu.
Abdul Razak Hassan Mohamad ,40, didakwa bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas merompak secara berkumpulan terhadap Md. Nazrul Islam, 33, dengan cara merampas sebuah telefon bimbit bernilai anggaran RM500 di tepi jalan berdekatan sebuah bank di Jalan Tun Tan Siew Sin pada 12 tengah malam, 10 Januari lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.
Hakim Rozina Ayob tidak membenarkan tertuduh dijamin dan menetapkan 15 Februari ini untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Shahrizzat Amadan tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan serius yang dilakukan tertuduh. Abdul Razak yang tidak diwakili peguam tidak membuat sebarangan rayuan berhubung jaminan kepada mahkamah. -UTUSAN ONLINE