Penganggur dituduh ceroboh, bakar kenderaan polis, curi barang kes - Utusan Malaysia

Penganggur dituduh ceroboh, bakar kenderaan polis, curi barang kes

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di dua mahkamah berasingan di sini terhadap tuduhan menceroboh Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, membakar sejumlah kenderaan dan mencuri barang kes yang berada dalam simpanan pasukan itu.

Di Mahkamah Sesyen, Muhammad Hazim Zawadod, 31, didakwa membakar tiga lori mengandungi pelbagai jenis rokok, enam buah kereta dan 13 motosikal yang ditempatkan di IPD tersebut.

Bagi tuduhan itu, lelaki berkenaan didakwa melakukan khianat menggunakan api dengan niat hendak membinasakan kawasan tempat penyimpanan barang kes di belakang lokap IPD berkenaan pada 18 Januari lalu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Hakim Faiz Dziyauddin membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dan menetapkan kes itu disebut pada 2 April ini.

Di Mahkamah Majistret pula, Muhammad Hazim didakwa atas tuduhan menceroboh kawasan tempat simpanan barang kes dalam pekarangan IPD berkenaan pada pukul 10.19 malam, hari yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Lelaki itu turut didakwa atas tuduhan berasingan mencuri barang-barang kes iaitu tiga karton rokok pelbagai jenama, dua kotak besar rokok serta tembakau pada pukul 5.30 petang.

Bagi kesalahan mencuri, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Majistret Zhafran Rahim Hamzah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,800 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan kes disebut pada hari yang sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Shanur Farrahin Shapri dan Atifah Hazimah Wahab manakala tertuduh diwakili peguam Chui Jing Hong. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN