SHAH ALAM: Penerima Skim Insurans Peduli Sihat (SIPS) wajib menjalani saringan kesihatan bagi melayakkan mereka menerima manfaat itu tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, saringan tersebut boleh dibuat di mana-mana klinik panel Selcare Management Sdn. Bhd. (Selcare) sepanjang tahun ini.
Menurut beliau, bagi memudahkan orang ramai melakukan ujian saringan, Selcare akan menganjurkan klinik bergerak dengan kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) masing-masing.
“Namun, bagi mereka yang tidak melakukan ujian saringan hanya mendapat manfaat polisi ini pada tahun ini.
“Tujuan kita melakukan ujian saringan adalah untuk mengumpul data kesihatan bagi memudahkan kerajaan mengenal pasti penyakit golongan berpendapatan rendah (B40),” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan SUK di sini hari ini.
Tambahnya, pemegang polisi juga disaran menggunakan manfaat SIPS dengan hanya tidak menggunakannya sebagai rawatan pesakit luar.
“Manfaat ini termasuk mengambil suntikan vaksin. Malah, kita bercadang untuk memasukkan suntikan Covid-19 dalam SIPS selepas diluluskan,” katanya.
Pada masa sama, Dr. Siti Mariah berkata, golongan miskin bandar di negeri ini digesa memohon SIPS sebelum Mac bagi melengkapkan kuota iaitu terdapat 4,000 lagi kekosongan.
“Setakat ini, seramai 82,000 individu layak menerima SIPS termasuk 2,000 permohonan yang masih dalam proses. Setiap permohonan boleh dilakukan di pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
“Walaupun kuota DUN ini telah penuh, mereka tidak perlu bimbang dan hanya perlu mohon sahaja kerana 4,000 kuota lagi masih kosong,” katanya. – UTUSAN ONLINE