IPOH: Penemuan mayat seorang lelaki yang telah mati dipercayai sejak tiga hari lalu dalam sebuah rumah di Taman Pasir Saujana di sini kelmarin rupa-rupanya adalah mangsa bunuh.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, ini berikutan hasil bedah siasat ke atas mayat Wong Keng Yee, 50, mendapati lelaki itu mati akibat pendarahan dalam otak, kesan hentakan dan juga kecederaan pada bahagian perut serta belakang badan.
Katanya, siasatan awal penemuan mayat tukang masak yang pada mulanya diklasifikasikan mati mengejut ditukar kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Ekoran hasil bedah siasat itu, pasukan forensik datang semula ke rumah mangsa bagi menjalankan siasatan dan menjumpai beberapa tompokan darah di dua bilik di bahagian atas rumah.
“Bagaimanapun, tompokan darah itu sudah dibersihkan selain rumah juga dalam keadaan kemas,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.
Menurut A. Asmadi, mayat lelaki yang masih bujang itu ditemui anak saudara perempuannya berusia 32 tahun kelmarin, ketika wanita terbabit datang untuk membersihkan rumah.
Katanya, wanita itu bagaimanapun terkejut apabila menjumpai bapa saudaranya itu terbaring dan didapati sudah tidak bernyawa di atas katil biliknya di tingkat dua rumah berkenaan.
“Wanita itu tidak mengesyaki apa-apa namun mendapati terdapat kain di bawah pintu bilik mangsa yang berkunci dari dalam seolah-olah untuk menghalang bau busuk dari keluar.
“Mangsa dianggarkan telah meninggal dunia dalam tempoh 36 jam sebelum mayatnya ditemui berdasarkan keadaannya yang telah hitam,” katanya.
Menurut beliau, polis sedang mengesan suspek dan mengenal pasti motif pembunuhan memandangkan tiada kehilangan barangan berharga milik mangsa.
“Siasatan sedang dijalankan termasuk memeriksa rekod panggilan telefon mangsa dan soal siasat ke atas keluarganya.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh untuk membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE