PONTIAN: Kira-kira 800 penduduk di Kawasan (1) Mukim Serkat, di sini bimbang dengan kes terbaharu Covid-19 yang melibatkan 23 kes Kluster Tanjung Megah di asrama pekerja kawasan perindustrian Tanjung Bin.
Mereka meminta pihak pengusaha industri terlibat agar mengambil tindakan segera bagi membendung gejala tersebut yang dikhuatiri boleh memberi kesan kepada kehidupan penduduk di persekitaran kawasan tersebut.
Bekas Ketua Kampung Kawasan (1) Mukim Serkat, Ab. Samir Mahadi, 64, berkata, penduduk yang berkerja sebagai nelayan dan petani bimbang sekiranya dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) jika kes tersebut meningkat.
Katanya, kampung-kampung terlibat adalah Kampung Sungai Dinar, Kampung Sungai Boh, Kampung Sungai Chengkeh dan Kampung Sungai Sam yang merupakan kawasan penempatan masyarakat berhampiran Tanjung Bin.
“Kami mula risau apabila terdapat pihak berkuasa membuat siasatan di asrama pekerja asing di kawasan tersebut pada semalam dan berharap masalah itu akan dibendung segera,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Difahamkan, Kluster Tanjung Megah melibatkan pekerja-pekerja di sebuah syarikat fasiliti minyak dan gas di Pusat Petroleum Tanjung Bin.
Tambah Ab. Samir, seperti di kawasan industri lain yang melibatkan ramai pekerja asing, kebimbangan penduduk ada asasnya sekiranya masalah tersebut gagal diatasi yang berkemungkinan PKPD menjadi jalan terakhir.
Seorang lagi penduduk, Yaumon Ahmad, 64, dari Kampung Sungai Chengkeh pula berharap, mereka tidak akan ‘dikurung’ sekali lagi yang boleh menjejaskan sumber pendapatan penduduk yang majoritinya sebagai nelayan dan petani.
Katanya, sebagai golongan nelayan, mereka perlu mencari pendapatan seharian untuk menampung perbelanjaan keluarga walaupun pendapatan yang diperolehi ketika ini tidak menentu.
“Kami berharap, kes yang berlaku itu tidak memberikan kesan kepada penduduk setempat dan pihak berkuasa mampu menangani dengan cepat,” jelasnya. -UTUSAN 0NLINE