Penduduk di kawasan rendah di Chukai waspada kemungkinan banjir - Utusan Malaysia

Penduduk di kawasan rendah di Chukai waspada kemungkinan banjir

HANAFIAH Mat (kanan) ketika meninjau keadaan banjir di Kampung Tanjung di Kemaman hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Penduduk di kawasan rendah di sekitar Chukai dinasihatkan supaya bersiap-sedia untuk berpindah lebih awal berikutan beberapa kampung yang dijangka dilanda banjir awal pagi esok. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat berkata, pemerhatian mendapati air dari kawasan hulu akan melimpah ke beberapa kampung termasuk Kampung Pasir Minal, Kampung Tempurung, Bandar Baru Bukit Mentok dan Kampung Tanjung Moktat. 

“Difahamkan air dari hulu sudah mengalir turun dan keadaan itu akan menyebabkan beberapa kampung terlibat banjir. 

“Berdasarkan pengalaman lepas, kawasan  rendah akan terjejas dan lazimnya air dari hulu dianggarkan tiba dalam tempoh lapan jam,” katanya kepada pemberita selepas  meninjau beberapa kampung yang terjejas banjir petang ini. 

Hanafiah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional berkata, penduduk turut disarankan memindahkan barangan mereka di tempat selamat sebelum berpindah. 

Bagaimanapun, katanya, penduduk perlu mengelak daripada berpindah pada waktu malam jika tiada keperluan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku. 

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Mohd. Zailani Abdullah berkata, kediaman penduduk di kawasan rendah dijangka dinaiki air malam ini berikutan fenomena air pasang. 

“Kita menjangkakan awal pagi ini kira-kira pukul 2 pagi, berlaku air pasang pada ketinggian 3.1 meter dan berkemungkinan air sungai akan melimpah ke beberapa kampung, jadi, saya menasihatkan penduduk agar bersiap-sedia dan berpindah lebih awal,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya