Penarafan A3 mencerminkan keyakinan Moody’s terhadap ekonomi Malaysia - Utusan Malaysia

Penarafan A3 mencerminkan keyakinan Moody’s terhadap ekonomi Malaysia

TENGKU DATUK SERI ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Langkah Moody’s mengekalkan kadar A3 dengan unjuran stabil mencerminkan keyakinan agensi sejagat itu terhadap penarafan mata wang tempatan dan asing jangka panjang.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia jelas pengesahan atas kekukuhan kawalan disiplin fiskal dan prospek mampan pertumbuhan jangka sederhana.

“Ini bukti keyakinan Moody’s dalam kitaran penilaian kredit yang mencabar di peringkat global dan disokong keberkesanan langkah bendung Covid-19,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Beliau menambah, pelbagai agensi penarafan kredit antarabangsa sebelum itu telah pun melaksanakan lebih 220 tindakan penarafan negatif sejak bermula pandemik itu awal 2020.

Menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), ekonomi global menguncup 3.5 peratus pada tahun lalu dan wabak itu memberikan cabaran getir kepada kerajaan di seluruh dunia.

Kerajaan Malaysia sendiri ujarnya, melaksanakan empat pakej rangsangan ekonomi dengan nilai RM305 bilion atau sekitar 20 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Dengan sasaran pertumbuhan Malaysia pada kadar hingga 7.5 peratus untuk 2021, unjuran ini juga seiring ramalan oleh agensi asing seperti IMF dan Bank Dunia,” kata Tengku Zafrul.

Moody’s jelasnya, turut mengiktiraf kredibiliti dan keberkesanan struktur rangka institusi negara khususnya dalam perancangan segala dasar makroekonomi sejak Mac tahun lepas.

Pelaksanaan sistematik oleh 53 kementerian dan agensi juga dipantau teliti dengan laporan mingguan disiarkan oleh Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi.

Komitmen kerajaan tegasnya, bagi memastikan ketelusan perbelanjaan turut ditunjukkan melalui Belanjawan 2021 berjumlah RM322.5 bilion yang juga terbesar dalam sejarah negara.

Pelbagai langkah baharu diperkenalkan selain penambahbaikan inisiatif sedia ada menerusi pertambahan peruntukan, pelaksanaan yang dipercepatkan atau peluasan skop pelaksanaan.

“Melangkah hadapan, usaha pemulihan terus dipacu oleh ekosistem perkhidmatan kesihatan awam yang berjaya capai nisbah kematian antara terendah di dunia,” tambah Tengku Zafrul.

Ini juga katanya, didorong program vaksinasi bermula Mac ini secara berfasa dengan sasaran lebih 80 peratus atau 27 juta rakyat akan selesai diinokulasi menjelang suku pertama 2021.

Pada masa sama, kerajaan kekal komited ke arah konsolidasi fiskal jangka sederhana malah defisit fiskal 2020 dijangka antara terendah berbanding negara berpenarafan A- yang lain.

Kedudukan institusi perbankan di Malaysia juga katanya, lebih kukuh daripada tahun-tahun terdahulu hasil pembinaan penampan modal dan amalan pengurusan risiko yang agak baik.

Justeru beliau berkata, kerajaan yakin dengan asas ekonomi, disiplin fiskal dan langkah dasar berkesan mampu membantu negara menangani cabaran suasana Covid-19 secara strategik.

“Ini seterusnya mengurangkan kesan negatif berkekalan ke atas ekonomi Malaysia akibat impak pandemik dan meletakkan negara dalam landasan pemulihan,” tegas Tengku Zafrul. – UTUSAN ONLINE

TAMAT

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya