PUTRAJAYA: Berita baik kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Kerajaan bersetuju menangguhkan bayaran balik pinjaman itu selama tiga bulan lagi kepada peminjam yang layak.
Mengumumkan perkara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, keputusan itu dibuat kerana kerajaan prihatin dan menyedari terdapat peminjam yang masih terkesan dengan pandemik Covid-19 dan belum berupaya membuat bayaran balik pinjaman.
Justeru, kata beliau, mereka yang terkesan boleh mengemukakan permohonan melalui portal rasmi PTPTN mulai 5 Januari hingga 31 Mac ini.
“Tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman bermula dari bulan permohonan pelanjutan diluluskan.
“Butiran berkenaan pelaksanaan pelanjutan penangguhan bayaran balik pinjaman ini akan diperincikan oleh PTPTN,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, kerajaan menangguhkan bayaran balik pinjaman PTPTN mulai 19 Mac hingga 31 Disember tahun lalu kepada semua peminjam PTPTN berikutan pandemik Covid-19.
Beliau menjelaskan, sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat dengan menghubungi Careline PTPTN di talian 03-2193 3000 yang beroperasi Isnin hingga Jumaat dari 9.00 pagi hingga 5.00 petang.
“Diharapkan pengumuman ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh peminjam PTPTN,” katanya. -UTUSAN ONLINE