Penamatan PKPD di 3 lokaliti kecuali 4 blok PTP - Utusan Malaysia

Penamatan PKPD di 3 lokaliti kecuali 4 blok PTP

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan untuk menamatkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga lokaliti berbeza mengikut jadual yang ditetapkan.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lokaliti yang terlibat ialah PKPD di kawasan Madrasah Daril Naim, Padang Halban, Mukim Peringat, Kota Bharu, Kelantan.

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan 152 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif, sebanyak 78 kes positif direkodkan,” katanya melalui kenyataan.

Bagaimanapun ujarnya, kementerian itu mengesahkan baki kes aktif di situ menunjukkan trend penurunan dan terkawal serta tiada lagi sampel yang perlu menunggu keputusan.

Justeru, atas nasihat dan penilaian risiko oleh pihak kementerian tersebut, kerajaan bersetuju untuk menamatkan pelaksanaan PKPD hari ini seperti yang dijadualkan sebelum itu.

Malah jelasnya, turut ditamatkan PKPD hari ini ialah di Kampung Paginatan dan Kampung Maringkan, Ranau, Sabah setelah baki kes aktif menunjukkan trend kejatuhan dan terkawal.

“Setakat ini, 424 ujian dengan 45 kes positif direkodkan di Kampung Paginatan, manakala 166 ujian pula dengan hanya 23 kes positif dicatatkan di Kampung Maringkan,” kata Ismail Sabri.

Sementara itu tambah beliau, pelaksanaan PKPD di Pusat Koreksional Kamunting dan kuarters kakitangan di Taiping, Perak ditamatkan pada esok sebagaimana telah dijadualkan.

Kementerian katanya, sudah berjaya melaksanakan 670 ujian saringan dan daripada jumlah tersebut, secara kumulatif sebanyak 55 kes positif wabak Covid-19 direkodkan sehingga kini.

Namun, terdapat baki 356 sampel saringan masih menunggu keputusan melibatkan tahanan di empat blok Pusat Transit Penerimaan (PTP) tanpa membabitkan tahanan lama di blok lain.

“Oleh itu, PKPD dilanjutkan hanya di Blok Gemilang, Blok Harapan, Blok Jaya dan Blok Abadi yang merupakan blok penempatan Orang Kena Tuduh sehingga 26 Januari ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN