PASIR PUTEH: Kaki ketum dan penagih dadah antara individu yang gagal merentas negeri secara tidak sah menggunakan ‘lorong tikus’ berikutan usaha pihak polis melakukan sekatan jalan raya (SJR) di Kampung Golok, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd. Azmir Damiri berkata, SJR di Kampung Golok sempena Op Rentas Negeri dijalankan selama tiga jam oleh pihaknya di kawasan itu yang bersempadan dengan Terengganu.
Katanya, dalam kejadian pertama pagi ini, seorang lelaki lari lintang-pukang meninggalkan bekalan air ketum dalam botol bersaiz 1.5 liter selepas motosikal ditunggangnya terbabas ketika cuba mengelak SJR tersebut.
Suspek yang dilihat membawa beg sandang juga sanggup melompat pagar berdekatan sebelum berjaya meloloskan diri dengan menyusup ke dalam semak.
Dalam kejadian kedua pula katanya, polis berjaya menahan dua penagih dadah berhampiran kawasan operasi dengan menunggang sebuah motosikal dari laluan Kampung Gong Manak menuju ke cabang tiga Kampung Golok.
“Hasil pemeriksaan awal menemukan peralatan menagih dadah seperti jarum suntikan. Suspek yang mengaku pernah masuk penjara kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh untuk siasatan lanjut.
“Sebuah motosikal Honda RS150 yang ditinggalkan suspek dalam kejadian pertama dan sebuah motosikal Honda EX5 dinaiki dua penagih dadah terbabit dibawa ke IPD Pasir Puteh untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Op Rentas Negeri dan SJR di lorong tikus Kampung Golok membabitkan 25 anggota serta pegawai, di sini hari ini.
Mohd. Azmir berkata, dalam tempoh lebih tiga jam operasi, sebanyak 53 individu bersama 50 kenderaan diperiksa.
“Bagi kesalahan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) termasuk rentas negeri, tiga kompaun dikeluarkan manakala bagi kesalahan trafik, sebanyak 21 saman dikeluarkan,” katanya.
Menurutnya, polis akan terus memantau setiap lorong tikus bagi mencegah kegiatan rentas negeri tanpa kebenaran ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan di negeri ini sehingga 26 Januari depan.
Antara lorong tikus dikenal pasti pihaknya ialah laluan Kampung Golok-Beris Baru, Besut; laluan Kampung Bukit Awang-Jertih dan laluan Pantai Pachakan-Kuala Besut.
“Pasukan khas juga turut memantau premis perniagaan di seluruh daerah ini bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP ditetapkan dalam usaha mengekang penularan Covid-19,” katanya. -UTUSAN ONLINE