IPOH: Pemuda UMNO Perak menyelar tindakan pihak yang mengeluarkan kenyataan mendesak Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berundur daripada jawatan Presiden.
Ketuanya, Mohd. Ariff Abdul Majid berkata, pemimpin dan ahli UMNO perlu berfikir kesan kepada imej parti dan institusi presiden melalui kenyataan-kenyataan peribadi yang dikeluarkan.
Menurutnya, dalam keadaan negara menghadapi waktu yang sukar kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta peningkatan kes Covid-19, seharusnya fokus ditumpukan kepada bebanan dihadapi oleh rakyat.
“Perbezaan pendapat harus diselesaikan secara berhemah dan bijak melalui konsep musyawarah.
“Hal dalaman parti tidak perlu diulas secara umum kerana apa yang penting adalah bagaimana untuk menguatkan serta mengangkat martabat parti keramat ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, Pemuda UMNO Perak yakin dengan kekuatan yang telah dibina oleh Presiden parti dalam menegakkan layar di saat UMNO dipukul ombak.
Beliau berkata, dalam pertempuran, selain strategi kalis masa dan pasukan yang kuat, kepercayaan serta keyakinan kepada kepemimpinan yang mengemudi organisasi dalam institusi adalah kunci utama kemenangan.
“Pemimpin dan ahli UMNO harus berprinsip dan konsisten dalam perjuangan.
“Dalam keadaan UMNO berdepan dengan ancaman dari segenap sudut, seharusnya kita menguatkan tiang serta tunjang parti, jangan biarkan api yang kecil ini membakar tiang yang telah dibina,” katanya. – UTUSAN