PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun terhadap seorang pemilik taska kerana melakukan penganiayaan terhadap seorang bayi perempuan berusia tiga bulan dengan cara menggoncangnya dengan kuat sehingga menyebabkan pendarahan dalam otak dan mata, hampir sembilan tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang bersidang bersama Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali memutuskan demikian secara sebulat suara ketika menolak rayuan akhir Nurul Shahidatul Afzan Zainal.
Mahkamah turut mengekalkan perintah Mahkamah Majistret Petaling Jaya yang mengarahkan wanita berusia 37 tahun itu agar membayar pampasan RM40,000 kepada keluarga mangsa. Pampasan itu bagaimanapun telah dijelaskan.
Panel itu kemudian mengeluarkan perintah komital agar hukuman penjara terhadap Nurul Shahidatul Afzan dikuatkuasakan bermula semalam. Pelaksanaan hukuman sebelum ini ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan selesai.
Perayu disabitkan melakukan penganiayaan kepada bayi perempuan di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Petaling Jaya dekat sini pada 5.23 petang 24 Februari 2012.
Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Pada 8 Januari 2018, Mahkamah Rayuan membenarkan pemilik taska itu merayu sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 29 Julai 2015 dan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mengekalkannya pada 29 Ogos 2017.
Nurul Shahidatul Afzan diwakili oleh peguam-peguam Ramkarpal Singh dan Clement Ng Yen Han manakala pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Ku Hayati Ku Haron. – UTUSAN ONLINE