PARIT: Beberapa pemilik rumah di Pangsapuri Seri Iskandar dekat sini merayu pemaju dan kontraktor yang terbabit dengan pembinaan perumahan berkenaan supaya bertanggungjawab terhadap banyak aspek yang didakwa tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.
Beberapa aspek yang tidak mengikut spesifikasi adalah fasiliti yang tidak boleh digunakan, termasuk kolam renang tidak diselenggara serta beberapa perkara yang tidak mengikut spesifikasi pelan asal.
Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri berkenaan, Muhammad Nazrin Sulaiman, 29, berkata, selain itu, banyak kepincangan turut didakwa berlaku termasuk oleh badan pengurusan sewaan yang dilantik untuk menyewakan kediaman pemilik, namun, gagal memberikan sewa sepatutnya.
Menurutnya, dia yang baru mengambil alih pengurusan pangsapuri sejak 15 Januari lalu mendapati banyak kepincangan berlaku.
“Rumah bermasalah, audit keluar masuk duit selenggara tidak lengkap dan hanya diperoleh sehingga 31 Ogos sahaja.
“Fasiliti yang tidak boleh digunakan termasuk kolam renang tidak diselenggara serta beberapa perkara yang tidak mengikut spesifikasi pelan asal,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Menurutnya, pemilik dijanjikan kelengkapan asas rumah seperti lampu, pendawaian dan kipas yang berkualiti, namun yang diterima pemilik adalah peralatan berkualiti sangat rendah serta membahayakan.
Nazrin berkata, berikutan pemaju dan kontraktor dilantik yang berdolak dalik, enggan bersemuka dan enggan mengambil peduli masalah pembeli selain sikap lepas tangan, pihaknya sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan tiga laporan polis.
“Laporan dibuat bagi membolehkan SPRM menyiasat sama ada wujud salah laku, penyelewengan atau perkara lain yang bercanggah dengan ketetapan asal hingga meragukan dan boleh dipertikaikan.
“Ini kerana kualiti binaan rumah yang tidak setimpal dengan harga jualan iaitu melebihi RM200,000 seunit.
“Lebih pelik, pemaju turut membuat laporan polis terhadap saya yang didakwa mengganggu urusan dan kerja mereka sedangkan saya hanya meminta penjelasan dan hak yang sepatutnya pemilik rumah nikmati selepas mengambil alih pengurusan tetapi dinafikan,” katanya.
Katanya, laporan kepada SPRM sudah dibuat pada 15 Disember lalu manakala laporan polis terhadap pemaju pula sudah dibuat pada 16 Disember lalu, serta pada 21 dan 23 Januari lalu.
Beliau berkata, selain pemaju yang beberapa kali bertukar, pelan pembangunan yang tidak mempunyai nombor rujukan, tandatangan yang tidak sama serta pindaan yang dibuat sesuka hati pada pelan pembinaan asal juga menimbulkan keraguan dan memerlukan siasatan terperinci SPRM.
“Pendedahan ini dibuat bagi memastikan bakal pemilik dan pembeli rumah dapat menjadikan apa yang berlaku kepada pemilik pangsapuri Seri Iskandar sebagai pengajaran dan tidak dianiaya,” katanya. -UTUSAN ONLINE