Pembantu pegawai perubatan parah rempuh tembok penghadang jalan - Utusan Malaysia

Pembantu pegawai perubatan parah rempuh tembok penghadang jalan

FADLI Abdullah menunjukkan tembok penghadang jalan yang dilanggar oleh pembantu pegawai perubatan di Jalan Bukit Selambau-Kuala Lesong, Sungai Petani hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Kakitangan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini cedera parah apabila motosikal yang ditungganginya merempuh tembok penghadang jalan di Jalan Bukit Selambau-Kuala Lesong dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa, Mohd. Asri Ismail,43, yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC dalam perjalanan ke tempat kerja dari rumahnya di Felda Teloi Kanan dekat sini mengalami cedera parah. 

Jalan tersebut terletak di sempadan antara daerah Kuala Muda dan Baling telah ditutup dengan tembok penghadang jalan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mangsa tidak sempat mengelak sebelum merempuh penghadang konkrit yang digunakan untuk menutup laluan itu.

“Impak pelanggaran dari jarak dekat itu mangsa telah mengalami cedera parah manakala motosikalnya rosak.

“Mangsa bertugas sebagai pembantu pegawai perubatan di HSAH,” katanya.

Adzli berkata, mangsa kini mendapat rawatan di HSAH dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, saksi kejadian, Fadzli Abdullah,52, berkata, jalan tersebut gelap kerana tiada lampu dan merupakan laluan ulang-alik utama antara penduduk Bukit Selambau dan Felda Teloi Kanan serta Teloi Timur.

“Sepatutnya, laluan ini dijadikan sekatan jalan raya dengan menempatkan anggota keselamatan bertugas bukan meletakkan penghadang konkrit di kedua-dua belah arah.

“Penduduk dua daerah terlibat terpaksa menggunakan laluan ini untuk urusan menoreh getah, pergi balik bekerja kerana jaraknya dekat berbanding menggunakan Jalan Kuala Ketil yang jauh dan menyusahkan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya