MELAKA: Pelajar wanita sebuah universiti swasta rugi RM84,600 selepas terpedaya dengan pulangan lumayan kononnya melalui pelaburan mata wang digital (bitcoin) yang bakal diperolehinya dalam masa tiga hari.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden E. Sundra Rajan berkata, mangsa mengetahui mengenai pelaburan tersebut menerusi iklan di Facebook yang menjanjikan pulangan dalam tempoh 72 jam.
“Mangsa menyatakan dia berminat dengan pelaburan tersebut dan dihubungi suspek melalui aplikasi Whatsapp kononnya untuk memberi penerangan mengenai pelaburan Bitcoin berkenaan.
“Suspek kemudian mengarahkan mangsa untuk mendaftar di satu laman web antara 5 Januari hingga 8 Januari,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Sundra Rajan, selepas mendaftar, mangsa telah membuat beberapa transaksi bayaran secara berperingkat dengan jumlah keseluruhan RM84,600 untuk membeli bitcoin ke lima akaun berbeza.
“Suspek bagaimanapun terus mengarahkan mangsa membuat bayaran sehingga wanita tersebut kehabisan wang menyebabkannya memaklumkan kepada ahli keluarga setelah menyedari dia ditipu.
“Susulan itu, mangsa telah membuat laporan polis pada 8 Januari lalu di Balai Polis Tengkera dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan penipuan,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya menasihatan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan iklan dan tawaran menyertai pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa yang singkat.
“Maklumat lanjut berkaitan pelaburan boleh diperolehi melalui sumber rasmi seperti alert list Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC),” katanya. -UTUSAN ONLINE