TELUK INTAN: Pelajar Kolej Vokasional Teluk Intan di sini hanya mampu memandang sayu semua peralatan sekolahnya termasuk buku nota dan kerja khusus rosak ditelenggami banjir.
Muhammad Alif Bedrul Hisham, 17, berkata, air banjir semalam naik terlalu cepat hanya dalam tempoh 10 minit itu menyebabkan dia tidak sempat menyelamatkan semua peralatan sekolah.
Katanya, dia kesal apabila semua barang tidak boleh digunakan terutama nota ulang kaji yang dibuat sebagai persediaan ujian pada bulan depan.
“Semasa rumah di Pekan Chikus dinaiki air, saya sedang membantu mangsa banjir yang dipindahkan ke Dewan Serbaguna Chikus.
“Apabila pulang ke rumah, saya terkejut melihat air banjir sudah memenuhi kawasan rumah dan hampir menenggelamkan dua buah motosikal,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Langkap di sini.
Menurutnya, selain kelengkapan sekolah miliknya, kelengkapan belajar kakak dan abangnya termasuk kerja khusus tahun akhir turut rosak.
“Air banjir sudah surut pagi ini dan kami adik beradik bersama ibu pulang ke rumah untuk mengemas.
“Hanya peti ais saja sempat diselamatkan manakala barangan lain termasuk buku, telefon bimbit dan komputer riba rosak,” katanya.
Sementara itu, ibu Muhammad Alif, Sofia Mohamed, 53, berkata, banjir kali ini yang pertama berlaku sepanjang lebih 40 tahun dia menetap di kawasan rumahnya.
“Saya menangis melihat keadaan rumah, namun bersyukur tiga anak yang menetap di luar Perak pulang membantu membersihkan rumah,” katanya. -UTUSAN ONLINE