Pelajar Orang Asli turut terkesan akses internet lemah - Utusan Malaysia

Pelajar Orang Asli turut terkesan akses internet lemah

S. JERIKA melakukan kerja rumah dengan menggunakan telefon bimbit milik ibunya ketika ditemui di Kampung Orang Asli Kampung Bumbum, Pulau Carey, Selangor semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Kesukaran mendapatkan akses internet di kawasan luar bandar semakin membimbangkan apabila pelajar terpaksa mengikuti kelas dalam talian agak lewat berbanding waktu ditetapkan.

Masalah dihadapi itu bukan sahaja membabitkan seorang, tetapi keseluruhan pelajar di dalam kelas Tingkatan 1, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Carey.

Salah seorang pelajarnya, S. Jerika berkata, dia dan rakan sekelasnya sering lewat untuk menerima bahan pembelajaran yang disampaikan oleh beberapa gurunya melalui aplikasi WhatsApp kerana akses internet yang lemah.

“Cikgu selalu tanya saya dan rakan-rakan lain sama ada sudah terima bahan tersebut atau tidak.

“Namun, kami sentiasa dapat lewat kerana akses internet sangat lemah menyebabkan sesi kelas akan lambat bermula kerana cikgu nak pastikan semua pelajar dapat bahan tersebut,” katanya ketika ditemui di Kampung Orang Asli Kampung Bumbum, Pulau Carey, di sini hari ini.

Tambah Jerika, walaupun capaian internet di rumahnya agak lemah, namun dia tidak akan keluar mencari liputan lebih baik atas faktor keselamatan.

“Selain itu, di rumah apabila ayah keluar bekerja, saya akan menggunakan telefon pintar ibu untuk mengikuti kelas dalam talian kerana keluarganya tidak berkemampuan untuk membeli telefon pintar baharu,” ujarnya.

Sementara itu, ayah kepada Jerika, A. Samri, 46, berkata, pendapatannya sebagai seorang tukang ukir sebanyak RM1,000 sebulan menghalangnya untuk membeli telefon pintar untuk anak bongsunya mengikuti kelas dalam talian.

Namun katanya, isterinya membenarkan Jerika menggunakan telefon pintarnya memandangkan dia jarang menggunakannya.

“Kita berharap kerajaan untuk memasang pencawang internet supaya penduduk di sini dapat capaian akses internet lebih baik.

“Buat masa ini, para pelajar amat memerlukan akses internet yang lancar kerana mereka amat memerlukannya supaya kelas dalam talian boleh dijalankan dengan sistematik,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya