ALOR SETAR: Calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak akan bertanding sebagai calon Bebas sekiranya parti itu tidak didaftarkan secara sah sehingga menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.
Presiden Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, parti itu tidak menolak kemungkinan akan bertanding di bawah logo Parti Warisan Sabah (Warisan)
Bagaimanapun, menurutnya, penggunaan lambang Warisan itu bukan pilihan utama, sebaliknya salah satu dari beberapa alternatif sekiranya pendaftaran Pejuang tidak dapat didaftarkan.
“Ada yang bertanya mengenai kemungkinan kami akan bertanding di bawah lambang Parti Warisan Sabah (Warisan) dan saya tak tolak kemungkinan tersebut, namun itu bukanlah pilihan utama.
“Kita masih ada pilihan lain. Kami pun masih menanti sama ada benar Warisan akan lebarkan sayap ke semenanjung tanah air,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan persekolahan kepada para pelajar dalam Parlimen Jerlun di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Jerlun, di sini hari ini.
Pada 7 Januari lalu, akhbar melaporkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) menolak permohonan pendaftaran Pejuang yang dipimpin bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, sebagai sebuah parti politik.
Peguam Mior Nor Haidir Suhaimi, yang mewakili Pejuang berkata, pihak ROS sudah menghantar surat kepada Setiausaha Agung Penaja Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah, mengenai penolakan permohonan itu atas alasan pendaftarannya dibuat secara tidak teratur.
Dalam pada itu, Mukhriz memberitahu, pihaknya telah mengemukakan rayuan berhubung penolakan pendaftaran parti itu semalam.
“Malah pagi semalam, Timbalan Presiden Penaja Pejuang, Datuk Marzuki Yahya juga telah bertemu dengan Ketua Pengarah ROS yang baharu.
“Pada masa ini, kami masih lagi sangat mengharapkan supaya ROS dapat mempertimbangkan semula perkara itu.
“Kami mohon dimaklumkan mengapa permohonan ditolak dan jika dikatakan permohonan sebelum ini tidak teratur, bagaimana hendak laksanakan supaya segalanya teratur,” katanya. – UTUSAN