Pegawai kanan bomba didakwa buat tuntutan palsu RM16,344

Pegawai kanan bomba didakwa buat tuntutan palsu RM16,344

MUHAMMAD Rasydan Ismail (tengah) didakwa atas kesalahan mengemukakan tuntutan palsu bernilai RM16,344 di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini. - FOTO/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang pegawai bomba berpangkat penguasa kanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu bernilai RM16,344.

Tertuduh, Muhammad Rasydan Ismail, 36, yang berkhidmat di Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur di Wakaf Tapai, Marang membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jamaluddin Mat. 

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa berniat memperdayakan Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur dengan menyerahkan invois bagi penyediaan makan minum peserta bengkel pengurusan operasi banjir pada 3 hingga 5 Disember 2017 bernilai RM9,864

Bagi pertuduhan kedua, Muhammad Rasydan didakwa berniat sama dengan menyerahkan invois bernilai RM6,480 bagi pembekalan makan minum peserta bengkel perancangan dan persediaan kawat kecekapan 2018 pada 6 hingga 8 Mei 2018.

Kedua-dua invois berjumlah RM16,344 itu diserahkan tertuduh dengan mengetahui pembekalan makanan tersebut tidak dilakukan pada tarikh tuntutan bagi mengelirukan prinsipal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bahagian kewangan, Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur pada Disember 2017 dan Jun 2018.

Kesemua pertuduhan tersebut dituduh di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd. Aliff Shaharuzaman manakala tertuduh diwakili peguam, Nur Shahida Shaifuddin. 

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan melapor diri ke SPRM Terengganu setiap awal bulan di samping menyerahkan pasport antarabangsa. 

Sebutan ditetapkan pada 2 Februari depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya