SEREMBAN – Seorang Pegawai Imigresen yang ditahan dalam Ops Selat dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 12 pertuduhan terbabit dalam penggubahan wang haram dan menerima rasuah bernilai RM885,950 sejak empat tahun lalu.
Mohd. Shah Ezywan Abd. Rahman, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Madiha Harullah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd. Shah Ezywan yang merupakan Pegawai Imigresen Gred KP19 didakwa atas lapan pertuduhan menerima wang tunai melalui transaksi akaun bank berjumlah RM885,950 daripada tiga individu yang mana dia mengetahui mereka mempunyai hubungan dengan kerja rasmi tertuduh.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Malayan Banking Berhad Cawangan Nilai antara 11 Januari 2017 hingga 1 November 2020 dan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Dalam pada itu, tertuduh turut didakwa atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram juga berjumlah RM885,950 daripada tiga individu sama melalui transaksi akaun bank atas nama seorang individu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Malayan Banking Berhad Cawangan Nilai antara 29 Mac 2017 hingga 19 Mei 2020.
Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM5 juta atau mana lebih tinggi.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Shaharuddun Wan Ladin menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin memandangkan kesalahan yang dilakukan adalah serius.
Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya yang diwakili peguam Afifuddin Ahmad Hafifi memohon jaminan dikurangkan kepada RM50,000 atas alasan perlu menanggung keluarga.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM65,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan beserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri pejabat SPRM berdekatan setiap bulan serta tertuduh tidak menganggu saksi terlibat.
Kes akan disebut semula pada 26 Februari depan di Mahkamah Sesyen Seremban.
Sebelum ini, media melaporkan SPRM telah menjalankan operasi khas dengan kerjasama Jabatan Imigresen pada 16 November 2020 yang berjaya melumpuhkan aktiviti rasuah melibatkan sindiket yang menyalahgunakan pengesahan cap keluar dan masuk sempadan utama negara. – UTUSAN ONLINE