PdPR: Peruntukan khas bantu keluarga terkesan - Utusan Malaysia

PdPR: Peruntukan khas bantu keluarga terkesan

HASSAN Abdul Karim (kanan) menunjukkan sampah sarap dan air yang tercemar di Sungai Tebrau, selepas memberi sumbangan prihatin Covid-19 kepada penduduk Kampung Plentong Tengah, Pasir Gudang, Johor. - UTUSAN/ BAAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Pendidikan disaran mendapatkan peruntukan khas bagi membantu keluarga pelajar yang terkesan untuk mengikuti kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, kerajaan boleh menyediakan dana itu melalui Belanjawan 2021 untuk memastikan pelaksanaan PdPR berjalan lancar di seluruh negara supaya kaedah pembelajaran tersebut mencapai objektifnya.

“Kerajaan ada duit bukannya tidak ada. Kalau tidak ada peruntukan, Menteri Pendidikan, Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin boleh minta luluskan peruntukan khas pendidikan di Parlimen dan ahli-ahli Parlimen akan sebulat suara meluluskannya.

“Namun ketika ini Parlimen digantung, jadi macam mana ahli-ahli Parlimen mahu membincangkannya? Jika tidak, setiap Selasa dan Khamis di Parlimen kita boleh tanya atau cadangkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Dr. Mohd Radzi dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Noraini Ahmad.” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan bekalan keperluan asas kepada penjaja dan meninjau sampah sarap di Sungai Tebrau, Kampung Plentong Baru di sini hari ini.

Semalam, akhbar melaporkan rungutan dan keluhan ibu bapa yang berdepan kesulitan untuk membantu anak-anak mereka mengikuti PdPR semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) khususnya yang melibatkan anak yang ramai dan di kawasan capaian internet yang lemah. 

Hassan berkata, peruntukan khas itu boleh digunakan untuk menampung kos perbelanjaan membeli peranti seperti komputer riba atau telefon pintar selain menyediakan kemudahan akses internet kepada pelajar terutama keluarga B40 atau M40.

Kata beliau, permasalahan tersebut perlu diselesaikan oleh pihak kerajaan dan kementerian yang bertanggungjawab untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik dan bukan terus berdiam diri.

“Masalah rakyat semasa PKP bukan sahaja makan minum tetapi juga isu pendidikan. Kerajaan luluskan peruntukan RM35 juta untuk bina tiga dewan (di Pagoh) baru-baru ini walaupun kawasan itu dah ada empat dewan. Jadi tidak timbul masalah peruntukan,” katanya.

Tambahnya, pihak korporat dan swasta termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di kawasan masing-masing juga boleh memainkan peranan membantu mengumpulkan dana menampung kos membeli peranti terutama untuk keluarga yang tidak berkemampuan.

Beliau turut mempersoalkan usaha dilakukan Kementerian Pendidikan yang dilihat tidak bersedia menghadapi kemungkinan dalam mendepani masalah penutupan sekolah akibat Covid-19 dan kaedah melaksanakan PdPR dengan berkesan.

“Kalau baru tahun pertama, saya faham kita akan kelam-kabut tetapi sekarang kita sudah masuk tahun kedua berdepan Covid-19. Saya nak tanya apa persiapan dibuat Kementerian Pendidikan dalam masa setahun untuk laksanakan pendidikan digital, apa perancangan yang dibuat.

“Jawapannya tidak ada. Apa software atau perisian, program dan aplikasi yang ada untuk digunakan murid dan pelajar di sekolah rendah dan di sekolah menengah? Adakah guru dilatih dan diberi kursus untuk menjalankan pendidikan digital,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN