JEMPOL: Hanya memperoleh pendapatan sebanyak RM35 sehari sebagai pembantu kantin di sebuah sekolah, seorang ibu tunggal, Arfah Baharin, 47, mengakui tidak mampu untuk menyediakan peralatan yang lengkap dan selesa untuk digunakan lima orang anaknya bagi mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Jelasnya, dengan jumlah pendapatan yang diperolehnya itu hanya cukup untuk menampung perbelanjaan harian, jauh sekali untuk menyediakan gajet atau telefon bimbit untuk kesemua orang anaknya yang berusia di antara 13 hingga 19 tahun.
Katanya, bagaimanapun dia sedikit lega, anak keduanya, Nur Irfa Ain Mokhtaruddin, 18, tinggal di asrama kerana mengikuti sesi persekolahan bersemuka kerana akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Anak saya lain, Mohamed Irfan Bahari, 19, Nur Irfa Aina, 16, Nur Irfa Aini, 15, dan Noor Ainin Jastina , 13, kesemuanya terpaksa belajar secara PdPR dengan menggunakan hanya satu telefon pintar sahaja .
“Mujur Mohamed Irfan ada menerima bantuan pada bulan September tahun lalu iaitu sebuah telefon bimbit beserta data internet untuk digunakan selama setahun. Telefon bimbit itulah mereka berempat termasuk dua lagi anak saudara saya yang tinggal bersama bergilir-gilir menggunakannya.
“Jika hari biasa, mereka berenam akan berkongsi tetapi jika hari Sabtu dan Ahad barulah mereka dapat menggunakan dua lagi telefon milik saya dan adik saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Serting Ilir, di sini hari ini .
Tambah Arfah lagi, dia turut memaklumkan kepada guru anak-anaknya jika mereka terlewat menghantar tugasan yang diberikan kerana terpaksa menunggu giliran untuk menggunakan telefon tersebut.
“Saya memang sentiasa memantau anak-anak supaya sentiasa menghantar tugasan sekolah yang diberikan walaupun keadaan susah sekalipun,” katanya .
Dia juga lega, Mohamed Irfan Bahari juga selalu membantu dan memastikan adik-adiknya belajar pada waktu sesi PdPR.
Ekoran kesusahan hidupnya, Arfah ketika ini mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan serta daripada pihak sebanyak Baitulmal RM250 sebulan. – UTUSAN ONLINE