Pasar pagi di Selangor dibenarkan bermula esok - Utusan Malaysia

Pasar pagi di Selangor dibenarkan bermula esok

LIMA pasar pagi yang ditutup melibatkan kawasan Majlis Perbandaran Klang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan negeri membenarkan semua pasar pagi beroperasi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula esok.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru negeri, Ng Sze Han berkata, keputusan itu dibuat setelah perbincangan diadakan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, kerajaan negeri membenarkan operasi pasar pagi dibuka memandangkan struktur dan operasinya di setiap lokasi adalah berbeza.

“Kita juga telah bersetuju agar kaedah pengurusan dan kawalan bagi pembukaan pasar pagi dalam tempoh PKP akan ditentukan oleh setiap PBT mengikut kesesuaian dan keupayaan kawalan di kawasan masing-masing.

“Semua pasar pagi dibenarkan beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 12 tengah hari,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, para penjaja dan pengunjung pasar pagi dikehendaki sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Sementara itu Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, daripada 14 pasar pagi di dua daerah iaitu Klang Utara dan Klang Selatan, lima daripadanya ditutup.

Oleh demikian, pihaknya memberi amaran kepada mana-mana peniaga supaya mematuhi peraturan bagi memastikan mereka berdepan dengan tindakan penutupan pasar.

Menurutnya, pihak majlis akan melakukan pemantauan SOP di setiap pasar pagi setiap hari di samping membuat kawalan perniagaan sekali.

Jelasnya, antara peraturan ditetapkan ialah mewajibkan semua peniaga menyediakan alat pengesan suhu sendiri untuk mengambil suhu pelanggan yang hadir bagi melatih peniaga mengamalkan disiplin diri disamping mengawal penularan Covid-19.

“Penjaja dikehendaki menyediakan QR code untuk diimbas oleh pelanggan atau menyediakan buku rekod kehadiran pelanggan sendiri. Pihak majlis akan menyediakan QR kepada setiap peniaga yang berniaga di tapak masing-masing.

“Selain itu, peniaga diwajibkan memasang tirai lutsinar bergantung kepada kesesuaian saiz gerai di kiri dan kanan bagi mengurangkan risiko jangkitan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya