PUTRAJAYA: Jutaan penduduk di lima negeri dan kesemua tiga Wilayah Persekutuan sekali lagi berdepan dengan pelbagai sekatan ekonomi, sosial, sukan, rekreasi dan pelancongan.
Langkah tegas itu kata Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob susulan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai esok sehingga 26 Januari ini.
“Semua penduduk dalam kawasan PKP juga tidak dibenarkan keluar dari kediaman mereka kecuali atas urusan tertentu,” katanya pada sidang akhbar mengenai isu PKP di sini hari ini.
Bagaimanapun, cuma dua orang dibenarkan keluar untuk mendapatkan bekalan makanan, ubat, penokok diet dan keperluan asas lain dalam radius tidak lebih 10 kilometer dari rumah.
Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP sekali lagi di Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah serta Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Ia dilaksanakan semula selama 14 hari ekoran kerajaan memandang serius situasi penularan wabak Covid-19 terus mencatat pertambahan kes baharu harian empat digit sejak November.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, maksimum tiga orang termasuk pesakit dibenarkan keluar untuk perkhidmatan jagaan kesihatan atau perubatan ke lokasi paling hampir.
“Bagi misi kemanusiaan terhadap mangsa bencana alam oleh badan sukarela, mereka perlu mendapat keizinan polis dan bantuan disalur kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana,” katanya.
Menyentuh aktiviti ekonomi ujarnya, operasi pasar malam, bazar larut malam, kedai pakaian, dobi layan diri, cermin mata, gunting rambut, salon, spa dan refleksologi adalah dilarang.
Selain itu, turut dilarang kelas tuisyen, muzik, tarian, seni, mengaji, bahasa dan sebagainya selain aktiviti hiburan meliputi kelab malam, pub, taman tema, karaoke famili, permainan dan pawagam.
Tidak ketinggalan ditegah ialah konsert, mesyuarat bersemuka agensi kerajaan atau swasta, seminar, bengkel, kursus, latihan, persidangan, ceramah, konvensyen dan pameran.
“Majlis sosial seperti kenduri, perkahwinan, pertunangan, resepsi, aqiqah, doa selamat, tahlil, ulang tahun tertentu, hari kelahiran, reunion dan retreat juga tidak boleh,” tegas Ismail Sabri.
Begitu juga aktiviti riadah termasuk menganjur kejohanan atau pertandingan sukan atau melibatkan peserta luar negara serta ramai yang sukar dikawal jarak fizikal kecuali joging dan berbasikal.
Sementara aktiviti dibenarkan meliputi restoran, kedai atau gerai, kenderaan bersaji, penjaja, medan selera, kiosk, kedai runcit dan serbaneka dari pukul 6 pagi hingga 8 malam sahaja.
Semuanya secara bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran dengan tempoh waktu sama manakala klinik swasta dan hospital boleh beroperasi seperti biasa selama 24 jam sehari.
Sebaliknya kedai farmasi, keperluan harian, kedai dobi, klinik veterinar dan kedai makanan haiwan juga 6 pagi hingga 8 malam, namun stesen minyak pula dilanjutkan hingga 10 malam.
“Kecuali di lebuh raya yang kekal 24 jam tetapi pasar harian dan tani dari 7 pagi sehingga 2 petang, pasar borong dari 12.01 tengah malam hingga 6 pagi dan 11 pagi hingga 4 petang,” jelasnya.
Ismail Sabri memaklumkan bahawa prosedur operasi standard lebih terperinci dan perubahan dari semasa ke semasa boleh dirujuk melalui laman sesawang rasmi Majlis Keselamatan Negara. -UTUSAN ONLINE