HULU TERENGGANU: Paras air di Stesen Janakuasa Hidroelektrik Sultan Mahmud di Kenyir, di sini masih berada pada tahap normal dengan bacaan terkini sebanyak 142.63 meter.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman berkata, walaupun hujan berterusan namun orang ramai tidak perlu bimbang kerana paras air di empangan tersebut belum mencapai tahap amaran iaitu 150 meter.
Katanya, lazimnya air dari empangan akan melimpah jika melepasi bacaan 145 meter dengan kali terakhir keadaan itu berlaku pada 2017.
“Kita sentiasa berhubung rapat dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan buat masa ini bacaan paras air masih lagi di tahap selamat serta terkawal,” katanya kepada pemberita selepas meninjau paras air di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir dan Stesen Janakuasa Hidroelektrik Sultan Mahmud hari ini.
Dalam pada itu, Che Adam menasihatkan orang ramai agar tidak menularkan berita palsu mengenai pelepasan air dari empangan tersebut bagi menurunkan paras takungan sehingga menyebabkan kejadian banjir di daerah-daerah lain.
Katanya, tindakan menyebar mesej, video atau gambar lama berkaitan empangan berkenaan boleh mencetuskan suasana cemas serta panik dalam masyarakat.- UTUSAN ONLINE