Pangkalan udara JPBM mula dibina tahun ini - Utusan Malaysia

Pangkalan udara JPBM mula dibina tahun ini

MOHAMMAD Hamdan berucap dalam Perutusan Tahun 2021 di ibu pejabat JPBM, di Putrajaya, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pembinaan Pangkalan Udara Subang di Selangor yang baharu khusus untuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bakal bermula pada suku ketiga tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, fasiliti itu dijangka siap pada 2024 dan antara beberapa projek sambungan daripada Rancangan Malaysia Ke-11 lalu.

“Unit Perancangan Ekonomi meluluskan untuk Rancangan Malaysia Ke-12 bersama projek prasarana lain dengan peruntukan keseluruhan bagi tahun ini sebanyak RM169 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perutusan Tahun 2021 di ibu pejabat JPBM di sini hari ini yang sepatutnya bersempena Majlis Perbarisan Tahunan, namun diubah selaras arahan kerajaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pangkalan baharu itu amat perlu kerana pada ketika ini JPBM memiliki sembilan unit helikopter dan 27 juruterbang bagi melakukan pelbagai tugas penting.

Agensi itu ujar Mohammad Hamdan, juga sedang berusaha memohon daripada pihak Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bagi diwujudkan pangkalan wilayah selatan.

“Lokasi fasiliti ini dicadangkan untuk dapat dibina di Johor supaya segala tugas pengoperasian udara JPBM di sektor selatan Semenanjung dimantapkan lagi pada masa depan,” tambahnya.

Beliau turut bersyukur apabila peruntukan pada tahun ini turut merangkumi projek baharu pembinaan sejumlah lapan balai bomba, dua kuarters dan sebuah ibu pejabat JPBM negeri.

Kerajaan katanya, turut menyediakan peruntukan perbelanjaan pengurusan sebanyak RM9.5 juta bagi kerja penyelenggaraan berkala di semua bangunan milik agensi itu seluruh negara.

Selain itu ujarnya, JPBM juga bakal menerima 100 buah kenderaan utiliti pacuan empat roda Mitsubishi Triton bagi menggantikan model pikap sedia ada yang tidak ekonomi diperbaiki.

“Malah, sejajar cabaran semasa, kita turut menerima enam unit dron AW189 di samping 150 buah jentera operasi bomba baharu, enam bot penyelamat dan lima jentera khas,” katanya.

Mohammad Hamdan bagaimanapun menegaskan, beberapa fokus turut dirangka sepanjang 2021 dalam usaha memastikan kesiapsiagaan berdasarkan pengalaman pada tahun lepas.

Ini termasuk pembangunan modul pengukuhan komptensi selain pewujudan pegawai bomba bantuan (PBB) zon berisiko tinggi seperti di gunung dan gua yang dirancang pada Mac depan.

Inisiatif itu melibatkan 10 anggota perintis dari kalangan malim gunung Taman Negara Mulu, Sarawak berasaskan model kejayaan PBB pantai di Kelantan dan Terengganu akhir tahun lalu.

“Langkah proaktif dan instruktif juga akan dibuat secara bersepadu bagi meneruskan usaha kelestarian perkhidmatan agar pemodenan kebombaan dapat direalisasikan,” tegas beliau. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN