SHAH ALAM : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor hari ini melancarkan Ops Catut 8.0 bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga peralatan elektroniki.
Hasil Ops Catut 8.0 melibatkan sembilan daerah itu, KPDNHEP Selangor telah mengeluarkan 10 notis kepada peniaga peralatan elektronik kerana disyaki menaikkan harga.
Pengarahnya, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, tindakan itu hasil pemeriksaan di kiosk-kiosk pasar raya di seluruh negeri ini bermula 11 pagi yang menjual peralatan elektronik seperti set komputer, komputer riba, mesin pencetak dan telefon bimbit.
Menurut beliau, pihaknya mendapati bekalan peralatan elektronik itu mencatatkan jualan tinggi terutama mesin pencetak dan komputer riba.
“Susulan pemeriksaan mendapati segelintir peniaga ditemui memaklumkan terpaksa menunggu agak lama bagi mendapatkan pesanan daripada pembekal serta berlaku sedikit kenaikan harga berikutan kos barangan telah meningkat.
“Oleh demikian, kita telah mengeluarkan sebanyak 10 notis terhadap peniaga bagi membekalkan perincian harga jualan dan harga kos barangan bagi tujuan siasatan lanjut sama ada berlaku pengambilan keuntungan berlebihan atau sebaliknya.
“Peniaga diberikan tempoh masa selama dua hari untuk membekalkan maklumat yang diarahkan kepada KPDNHEP,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelas Muhamad Zikril, Ops Catut 8.0 yang dijalankan sehingga 8 Februari nanti bertujuan membendung salah laku atau manipulasi harga oleh peniaga susulan pembelajaran dalam talian bagi murid dan pelajar untuk sesi persekolahan yang bermula 20 Januari lalu.
“Kita memberikan amaran kepada peniaga barangan elektronik agar tidak mengambil kesempatan.
“Mereka boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 bagi pertubuhan selain bagi perseorangan boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun dan denda sehingga RM100,000 mengikut Seksyen 14(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya. – UTUSAN ONLINE