PUTRAJAYA: Pejabat-pejabat kerajaan diarahkan beroperasi sepenuhnya sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula esok hingga 26 Januari ini.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman berkata, perkara itu penting bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam diteruskan.
Beliau berkata, kehadiran penjawat awam ke pejabat sepanjang tempoh itu selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2020: Dasar Bekerja Dari Rumah (PP 5/2020).
“Lain-lain pegawai adalah diarahkan untuk bekerja dari rumah. Bagi kawasan PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kehadiran 100 peratus bagi pegawai yang berkhidmat dalam perkhidmatan perlu manakala hanya 30 peratus pegawai bagi perkhidmatan lain.
“Bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pula, kehadiran pegawai adalah secara optimum,” katanya.
Perkara itu dimaklumkan Mohd. Khairul menerusi pekeliling Arahan Pengoperasian Pejabat Kerajaan di Bawah Perintah-Perintah Kawalan Pergerakan bertarikh hari ini. – UTUSAN ONLINE