Operasi cari mangsa lemas diperluas hingga Kampung Gajah - Utusan Malaysia

Operasi cari mangsa lemas diperluas hingga Kampung Gajah

PASUKAN SAR mencari mangsa yang dikhuatiri lemas setelah terjatuh ke dalam longkang di Lebuh Persiaran Klebang 11 dekat Chemor di Ipoh hari ini. - UTUSAN/GAMBAR IHSAN JBPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak menggunakan 21 kayak dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki yang dikhuatiri lemas setelah terjatuh ke dalam longkang di Lebuh Persiaran Klebang 11 dekat Chemor di sini, Khamis lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh, Azman Hussin berkata, lima kayak itu daripada Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Utara, Tronoh dengan dibantu 15 kayak yang dikendalikan team ‘rafting’, Kamparado.

Katanya, empat buah bot jenis gentian turut digerakkan untuk menyusur sungai dalam operasi mencari mangsa yang masuk hari keempat.

“Kerja-kerja mencari dan menyelamatkan mangsa dibahagikan kepada enam sektor yang bermula dari Chemor iaitu tempat mangsa dilaporkan terjatuh sehingga ke Teluk Intan.

“Operasi pada hari ini juga akan diperluaskan sehingga 50 kilometer di Sungai Perak sehingga menghala ke Kampung Gajah,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, tiga ekor anjing daripada Unit Anjing Pengesan (K9) bomba turut digunakan bagi membantu operasi mencari mangsa.

Katanya, keadaan air sungai yang cetek menyebabkan pasukan mencari dan menyelamat terpaksa menggunakan teknik ‘meranduk’ atau mengharung air.

“Buat masa ini kita masih belum menemui sebarang petunjuk yang boleh membantu mencari mangsa.

“Operasi masih menggunakan kaedah sama iaitu menyusuri sungai, memeriksa sekitar dua kawasan perangkap sampah dan melakukan pemunggahan di sepanjang tebing sungai yang dipenuhi pokok dan semak tebal,” katanya.

Tambah beliau, seramai 22 orang pegawai dan anggota dari BBP Ipoh, BBP Pasir Puteh dan BBP Batu Gajah serta unit K9 terbabit dalam operasi SAR dengan penglibatan pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Chemor dan Tanjung Tualang.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 petang ketika hujan lebat Khamis lalu, Ahmad Amin Ismail, 58, dikatakan terjatuh ke dalam longkang di bahu jalan setelah motosikal Yamaha Ego S yang ditunggangnya terbabas.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya