Operasi cari Ahmad Amin tidak dihentikan - Utusan Malaysia

Operasi cari Ahmad Amin tidak dihentikan

ANGGOTA bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang terjatuh ke dalam longkang Khamis lalu di Sungai Kinta, Batu Gajah hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH: Polis negeri ini memberi jaminan operasi mencari seorang penunggang motosikal, Ahmad Amin Ismail, 58, yang hilang setelah terjatuh ke dalam longkang di Chemor pada Khamis lalu tidak dihentikan walaupun tiada petunjuk positif ditemui setakat ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, operasi mencari mangsa yang masuk hari kelima itu diperluaskan sehingga 100 kilometer dari Sungai Klebang, Ipoh hingga ke Sungai Perak di Teluk Intan.

“Kita tidak akan berhenti mencari mangsa. Keluarganya ada di sini dan mereka juga berharap mangsa ditemui segera.

“Pasukan mencari dan menyelamat juga berusaha keras mencari mangsa. Walaupun malam dan tidak turun ke sungai, mereka tetap menyusur tebing bagi melakukan pencarian,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mangsa lemas di Sungai Kinta di sini hari ini.

Menurut beliau, mangsa dipercayai telah jauh dihanyutkan arus berdasarkan keadaan kerosakkan pada perangkap sampah di Sungai Klebang.

Sehubungan itu katanya, usaha mencari turut dilakukan di sekitar tebing sungai sekiranya mangsa tersangkut di kawasan tersebut.

“Keadaan sungai kini cetek dengan cuaca baik. Jadi kita berharap mangsa dapat ditemui segera oleh pasukan mencari dan menyelamat,” katanya.

Sementara itu, isteri Ahmad Amin, Khadijah Din, 59, berkata, mereka sekeluarga tidak putus berdoa dan melakukan solat hajat bersama kejiranan di Klebang Restu agar  diberikan petunjuk kehilangan lelaki itu.

“Saya berdoa, jika tersorok atau apa pun, tunjukkan. Apa sahaja keadaan sama ada hidup atau meninggal dunia, saya reda seikhlasnya,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 petang ketika hujan lebat Khamis lalu, Ahmad Amin dikatakan terjatuh ke dalam longkang di bahu jalan setelah motosikal Yamaha Ego S yang ditunggangnya terbabas. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya