BUTTERWORTH: Tidak tahu, tidak pasti dan tidak perlu kerana hanya melibatkan perjalanan jarak dekat.
Itu antara alasan popular pemandu bas terutama ketika ditanya mengenai ketiadaan aplikasi MySejahtera untuk diimbas oleh penumpang mereka.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Adenan Md. Isa berkata, kesalahan itu merupakan antara lebih 500 saman atau kompaun yang dikeluarkan dalam operasi bersepadu yang turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Kementerian Kesihatan (KKM) bermula 13 Januari lalu.
“Sehingga ini, kita berjaya kesan sekurang-kurangnya dua kes melibatkan pengangkutan awam terutamanya bas yang tidak dilengkapi dengan aplikasi berkenaan.
“Selain kes itu, kes-kes lain yang dikesan terutamanya melibatkan pematuhan prosedur operasi standard Covid-19 ini seperti tidak memakai pelitup muka, ketiadaan alat sanitasi tangan, tidak memiliki surat kebenaran polis untuk merentas daerah dan sebagainya,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan tinjauan di sekatan jalan raya (SJR) berhampiran Plaza Tol Juru arah selatan yang dijalankan dengan kerjasama PDRM sempena ‘Op Covid-19’ peringkat negeri bagi memantau pematuhan perintah kawalan pergerakan (PKP) di sini hari ini.
Menurut Adenan, secara keseluruhannya, seramai 180 anggota JPJ dan kira-kira 50 anggota polis terlibat dalam operasi tersebut yang dijalankan di tujuh lokasi berasingan.
Katanya, antara lokasi itu termasuk di kawasan terminal bas, berhampiran plaza tol serta stesen penguat kuasa (SPK) negeri selain menerusi aktiviti rondaan secara berkala.
“Kesemua anggota ini pula akan bertugas secara bergilir-gilir iaitu antara pukul 7 pagi hingga 3 petang dan 3 petang hingga 11 malam setiap hari sehingga 4 Februari depan,” kata beliau.
Dalam pada itu, Adenan memberitahu, pihaknya akan terus menjalankan operasi yang berkaitan bagi memastikan kenderaan awam serta perdagangan terutama bas dan lori tidak mengambil kesempatan mengabaikan aspek keselamatan ketika memandu.
“Antara kesalahan yang dikesan dalam kalangan pemandu kenderaan berat seperti lori termasuk tidak memiliki lesen memandu, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh, tiada insuran, pengubahsuaian kenderaan serta membawa muatan berlebihan,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE