JOHOR BAHRU: Syarikat penghantaran makanan halal pertama di Malaysia, Ode Jee memulakan operasinya secara berperingkat sebelum diperluaskan ke seluruh Johor.
Pengerusinya, Datuk Seri Ismail Alwasi Khan memaklumkan, pada peringkat permulaan ini, Ode Jee beroperasi di Johor Bahru dan di kawasan sekitarnya.
“Kini pengguna boleh membuat pesanan menerusi aplikasi Ode Jee yang boleh dimuat turun menerusi Google Play Store dan Huawei Store.
“Ode Jee memberi jaminan makanan dan minuman yang ditawarkan adalah mesra Muslim, halal dan mematuhi hukum syarak,” katanya.
Ismail berkata, pada masa ini, hanya pemilik telefon pintar yang menggunakan sistem Android dan Huawei boleh memuat turun aplikasi Ode Jee.
Jelasnya, pengguna IOS pula boleh memuat turun aplikasi Ode Jee menerusi Apple Store tidak lama lagi.
“Operasi Ode Jee akan diperluaskan secara berperingkat-peringkat dan dijangka dapat beroperasi sepenuhnya di seluruh negeri Johor menjelang akhir bulan ini.
“Aplikasi Ode Jee kini mempunyai lebih 1,000 vendor yang menawarkan pelbagai pilihan makanan dan minuman halal dan lebih 200 penghantar makanan (rider) di negeri ini,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE