ALOR SETAR: Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak mencatatkan sejarah apabila menjadi pegawai wanita pertama dilantik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sebagai Pengarah Zon Maritim menerajui Zon Maritim Kuala Kedah.
Majlis Serah Terima Tugas antara bekas Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad kepada Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah baharu itu disaksikan oleh Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah di sini hari ini.
Noor Azreyanti, 36, berkata, beliau berazam untuk meneruskan kecemerlangan Zon Maritim Kuala Kedah.
“Saya akan meningkatkan lagi penguatkuasaan dan usaha bagi memastikan kadar jenayah di perairan Kuala Kedah berada pada tahap yang rendah,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Maritim Malaysia Negeri Kedah dan Perlis di sini hari ini.
Sebelum ini, Noor Azreyanti bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Maritim, Ibu Pejabat Maritim Malaysia Putrajaya sebagai Penolong Pengarah Kanan.
Beliau mencatatkan banyak pencapaian dalam perkhidmatan termasuk pegawai penyiasat wanita pertama dalam mengendalikan kes dadah terbesar sejak penubuhan Maritim Malaysia sehingga 2014 serta pegawai wanita pertama menyertai pelayaran latihan bersama Japan Coast Guard (JCG) dan Japan International Cooperatoon Agency (JICA) di bawah program Kojima Vessel On – Boarding Training yang bermula di Singapura hingga ke Kure, Jepun.
Selain itu, beliau juga merupakan Pegawai Navigasi wanita pertama yang menyertai Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) pada 2009.
Pelantikan Azreyanti sebagai Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah adalah satu gambaran keterbukaan pengurusan agensi dalam pelantikan dan kenaikan pangkat seseorang pegawai dan anggota tanpa diskriminasi jantina dengan meletakkan pencapaian prestasi individu sebagai ukuran. -UTUSAN ONLINE