PUTRAJAYA: Setelah pernah ‘popular’ sebagai antara 10 negara teratas di dunia memiliki pasport berkualiti tinggi lebih lima tahun lalu, kini pasport Malaysia bukan lagi bernilai tinggi, malah, terkeluar daripada senarai teratas berkenaan
Ia hasil laporan terkini didedahkan dua agensi penarafan global kelmarin yang memaparkan senarai ‘nilai’ kedudukan pasport antarabangsa pelbagai negara seluruh dunia awal tahun ini.
Menurut Passport Index diterbitkan oleh Arton Capital berpusat di Montreal, Kanada, pasport Malaysia menduduki tempat ke-20; kekal seperti tahun lalu, namun masih terburuk dalam sejarah.
Rekod cemerlang pasport negara ini pernah mencapai posisi kelima pada 2015, berbanding kelapan yang dicatatkannya pada tahun sebelum dan tahun selepas itu.
Kemudian, Malaysia sekali lagi menjadi tumpuan dunia apabila naik kepada tangga ketujuh pada 2017, sebelum jatuh pula tempat kesembilan pada 2018 ketika era Pakatan Harapan.
Nilai pasport Malaysia bertambah buruk pada 2019 apabila merosot kepada posisi ke-19 sebelum turun lagi satu anak tangga setelah berlaku peralihan kuasa kepada Perikatan Nasional.
Arton Capital menyenaraikan 203 pasport melibatkan kesemua negara anggota Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) selain enam wilayah berdaulat yang diiktiraf oleh badan dunia tersebut.
Pengukuran nilai sesuatu pasport diukur berdasarkan bilangan negara yang menetapkan akses bebas visa, visa semasa ketibaan atau kelulusan visa elektronik dalam masa tiga hari kerja.
Untuk tahun ini, agensi itu menamakan Jerman dengan skor mobiliti 134 negara, diikuti tiga negara berkongsi tempat kedua iaitu Sweden, Finland dan Sepanyol dengan skor 133 negara.
Sementara posisi ketiga pula dikongsi empat negara iaitu Denmark, Norway, Switzerland dan New Zealand dengan 132 negara, manakala Malaysia tangga ke-20 dengan cuma 101 negara.
Bagaimanapun, Henley Passport Index berdasarkan data eksklusif Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) pula menyenaraikan pasport Malaysia masih lagi di tempat ke-14.
Kedudukan itu sama seperti tahun lepas dengan 178 negara akses bebas visa, tetapi jatuh daripada posisi ke-12 yang pernah dicapai pada 2019, ke-10 pada 2018 dan ke-13 pada 2017.
Rekod cemerlang pasport negara ini dalam indeks 227 negara itu diraih pada 2014 lalu iaitu tempat kelapan sebelum jatuh kedudukan ke-10 pada tahun berikutnya dan ke-12 pada 2016.
Bagi tahun 2021, agensi penyelidikan Henley & Partners menamakan pasport Jepun sebagai paling berkuasa di dunia dengan 191 negara boleh dimasuki rakyatnya tanpa dikenakan visa.
Malah, kedudukan itu kekal empat tahun berturut-turut sejak 2018, diikuti Singapura dengan 190 negara serta tempat ketiga dikongsi oleh Jerman dan Korea Selatan dengan 189 negara.
Penyenaraian IATA agak berbeza sedikit daripada Passport Index yang berdasarkan data pemantauan berkala dikeluarkan oleh Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP). -UTUSAN ONLINE