Nenek didakwa bunuh cucu - Utusan Malaysia

Nenek didakwa bunuh cucu

IPZUMA Ambo (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang untuk didakwa atas pertuduhan membunuh cucu perempuan saudaranya berusia lima tahun yang juga orang kurang upaya (OKU).- UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang nenek warganegara Indonesia didakwa di Mahkamah Majistret Selayang atas tuduhan membunuh cucu perempuan saudaranya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) berusia lima tahun, Disember tahun lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada Ipzuma Ambo, 55, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nik Mohd. Fadli Nik Azlan. Tertuduh dilarang jamin.

Mengikut pertuduhan, wanita tersebut didakwa membunuh cucunya di sebuah rumah di Kampung Sungai Chin Chin, Gombak di sini di antara pukul 12.01 tengah malam, 28 Disember tahun lalu dan pukul 8.10 malam, 30 Disember tahun lalu.

Mangsa yang berusia lima tahun menghidap Hydrocephalus iaitu lebihan cecair otak sejak dilahirkan dan tidak mampu berjalan dengan sempurna.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding itu, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ain Shafie dan Nur Shasha Hidayah Nor Azahar manakala tertuduh diwakili peguam bela, Suriati Che Arifin.

Mahkamah menetapkan 18 Februari ini untuk sebutan kes.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen pula, bapa kepada kanak-kanak itu yang berusia 34 tahun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd. Tajudin atas pertuduhan mengabaikan mangsa yang sama.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya telah mengabaikan iaitu menyebabkan kecederaan fizikal pada tubuh badan kanak-kanak itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 1 Januari sehingga 30 Disember tahun lalu di rumah sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 31(1) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Nurul Ain yang turut mewakili pendakwaan menawarkan jaminan RM15,000 berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan.

Bagaimanapun Suriati memohon jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya tidak berkemampuan untuk membayar jumlah jamin itu.

Mahkamah kemudian membenarkan bapa mangsa diikat jamin RM8,000 berserta syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan tarikh sama bagi sebutan semula kes.

Pada 6 Januari lalu, akhbar melaporkan seorang kanak-kanak perempuan OKU meninggal dunia disyaki akibat didera oleh nenek saudara dan ahli keluarga sebelah bapa.

Siasatan awal mendapati, mangsa disyaki didera menggunakan rotan dan ubat nyamuk, selain dipijak di bahagian perut manakala hasil bedah siasat menunjukkan sebab kematian berpunca daripada trauma pada perut yang menyebabkan ususnya pecah atau bocor. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN