GEORGETOWN: Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) dekat sini akan diwartakan sebagai Zon Perdagangan Bebas mulai 1 Februari ini.
Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng berkata, pewartaan berkenaan dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan tempatan dan mendorong industri pembuatan domestik.
Menurut beliau, SPPP dan Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) akan berusaha meningkatkan perkhidmatan pelabuhan supaya dapat menarik lebih banyak pelabur asing untuk menggunakan pelabuhan berkenaan serta menarik syarikat asing untuk menubuhkan kilang di negeri ini.
“Syarikat asing dapat menggunakan kemudahan yang disediakan di Zon Perdagangan Bebas seterusnya dieksport semula ke luar negara.
“Oleh kerana mereka dapat menikmati perkhidmatan tanpa bayaran duti kastam, duti eksais, cukai jualan atau cukai perkhidmatan kecuali bagi barang tertentu di bawah Perintah Zon Bebas (Pengecualian ke atas barang-barang dan perkhidmatan) 1998, barangan yang dieskport dijangkakan pada harga yang lebih rendah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, SPPP juga akan mengambil langkah-langkah komprehensif untuk menarik para pelabur asing supaya datang mengembangkan sektor perdagangan di zon tersebut.
“Oleh kerana Zon Perdagangan Bebas menyediakan kemudahan komersial termasuk perkhidmatan penghantaran dan penyimpanan yang cekap serta dasar pemberian insentif, kita yakin banyak pelabur dari seluruh dunia akan datang ke sini.
“Mereka dapat menjalankan aktiviti- aktiviti nilai tambah yang dibenarkan seperti memecah pukal, menggred, pembungkusan semula, melabel semula, transit dan mengeksport semula,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, langkah mewartakan NBCT sebagai Zon Perdagangan Bebasa itu adalah usaha Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
“Kedua-dua mereka bersetuju mewartakan Pangkalan Kontena Butterworth Utara sebagai Zon Perdagangan Bebas di bawah Akta Zon Bebas 1990,” katanya. -UTUSAN ONLINE