KUALA LUMPUR: Bergelar ibu tunggal sejak enam tahun lalu dengan jumlah tanggungan cukup besar memberi cabaran kepada seorang anggota tentera wanita yang berkhidmat dalam Tentera Darat.
Bagi Koperal Siti Azizon Mohamad, dia cekal menjalani kehidupan dengan membahagikan masa sebagai anggota tentera dan menjaga empat orang anak termasuk seorang orang kurang upaya (OKU).
Malah dia yang menyewa rumah kira-kira RM1,000 sebulan dalam masa yang sama menyara lima lagi anak saudaranya selepas kehilangan ahli keluarga.
Nasibnya bagaimanapun terbela selepas Tentera Darat menyampaikan sumbangan menerusi Tabung Kebajikan Angkatan Tentera dan Tabung Zakat Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Selain itu, Tentera Darat juga akan mengurus proses membaik pulih kediaman beliau yang beralamat di Machang, Kelantan dengan kos pembaikan berjumlah RM15,000 ditanggung Kementerian Pertahanan.
Siti Azizon kini menjalani kursus Latihan Peralihan di Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) dengan mengikuti kursus Usahawan Food Court bermula 6 Oktober tahun lalu hingga 5 April ini sebelum menamatkan perkhidmatan ATM pada 31 Julai tahun ini. – UTUSAN ONLINE