Nasib ibu tunggal anak sembilan dapat perhatian - Utusan Malaysia

Nasib ibu tunggal anak sembilan dapat perhatian

KERATAN AKHBAR UTUSAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kesempitan hidup ibu tunggal anak sembilan yang disiarkan di Utusan Malaysia hari ini mendapat perhatian pelbagai pihak yang prihatin dengan menghulurkan bantuan.

Menurut Saaidah Puteh, 40, keluarganya didatangi beberapa individu yang bersimpati dengan mereka hari ini dan menghulurkan bantuan wang tunai serta makanan untuk anak-anaknya.

Tanpa mendedahkan dermawan terbabit atas permintaannya, kata Saaidah, sumbangan tersebut sangat berharga kepada keluarganya.

“Alhamdulillah ada juga yang bersimpati dengan kami dan sumbang wang tunai.

“Wang ini akan saya gunakan untuk menyediakan keperluan anak-anak belajar seperti buku dan kelengkapan sekolah lain.

“Saya juga boleh buat tambah nilai telefon kerana belajar secara dalam talian mereka memerlukan data internet yang banyak. Syukur ada wang sumbangan kalau tak jenuh juga,” katanya di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini menyiarkan keluhan Saaidah apabila anak-anaknya yang bersekolah terpaksa berkongsi dua telefon pintar miliknya dan arwah suami untuk mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Saaidah dari Kampung Medan Alor Malai di sini memberitahu, dia tidak mampu membeli gajet baharu kerana tidak bekerja dan hanya bergantung kepada faedah pencen penakat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) arwah suami, Zainol Abidin Ibrahim, 47, yang meninggal dunia akibat kencing manis pada Oktober tahun lalu.

Saaidah mempunyai tujuh anak yang bersekolah dan lima daripadanya terpaksa menunggu giliran menyiapkan tugasan diberikan guru masing-masing.

Dalam pada itu, menurut anak keduanya,  Nurul Aliah Athirah, 18, yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia berjanji untuk melakukan yang terbaik dalam peperiksaan itu untuk masa depannya dan keluarga.

“Saya cuma ingat nasib Ibu dan adik-adik sahaja. Saya harap dapat buat yang terbaik dalam peperiksaan ini dan berpeluang sambung belajar seterusnya peroleh pekerjaan yang baik. 

“Lagipun sudah berjanji dengan arwah ayah untuk jaga mereka semua,” kata pelajar tingkatan lima di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Sofiah di sini. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN