JOHOR BAHRU: Tiada siapa mahu tidur di kawasan awam apatah lagi di lokasi yang menjadi laluan utama orang ramai lalu-lalang pada setiap hari. Jika sebelum ini, pemandangan golongan tanpa rumah hanya kelihatan pada waktu malam tetapi kini keadaan berbeza.
Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka tiada pilihan selain terus menjadikan kaki lima bangunan, pondok menunggu bas dan teksi atau apa sahaja ‘port’ yang difikirkan bersesuaian sebagai tempat berteduh tidak kira siang dan malam.
Bagaimanapun berdasarkan tinjauan Utusan Malaysia, bukan semua golongan itu merupakan orang Johor tetapi datang dari pelbagai negeri yang menjadikan bandar raya ini sebagai transit untuk mencari pekerjaan di negara seberang atau di Johor sendiri.
Tetapi disebabkan PKP ada juga keluarga dari negeri lain yang terperangkap kerana tidak boleh merentas negeri terpaksa menjadikan kaki lima sebagai tempat tinggal mereka selepas kehabisan wang.
Selain itu, terdapat juga dalam kalangan mereka memiliki rumah di negeri ini tetapi pergi ke kawasan itu untuk mendapatkan bantuan makanan atau kewangan agar dapat meneruskan kelangsungan hidup masing-masing.
Meskipun bukan perkara baharu, isu gelandangan di bandar raya ini kembali mendapat perhatian sejak PKP pertama tahun lepas yang telah pun diselesaikan pihak berkaitan dahulu tetapi berulang semula ketika PKP kali kedua sejak 13 Januari lalu.
Ada yang menyifatkan jumlah gelandangan di beberapa lokasi semakin bertambah sehingga mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berlumba-lumba menghulurkan bantuan.
Namun begitu, sikap pemurah hati penyumbang serta keprihatinan NGO dan individu perseorangan dalam menyumbang bekalan makanan kepada golongan memerlukan bertukar menjadi pembaziran apabila bekalan makanan yang diperoleh mencecah 2,000 pek sehari.
Ketika ini, seramai 237 individu didaftarkan untuk menerima makanan di tempat khas yang disediakan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di Dataran Tun Sri Lanang, Jalan Ibrahim di sini. – UTUSAN