BERA: Kerajaan negeri memutuskan kapal British Vivian & Sons Sheating yang ditemukan terdampar di tebing Sungai Lipis di Lipis akan dipelihara dan dipulihara oleh Jabatan Muzium Negeri Pahang.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri bersetuju jabatan itu ‘menguruskan’ kapal terbabit mengikut kepakarannya.
Tambahnya, setakat ini, kerajaan negeri belum bercadang untuk mewujudkan sebuah muzium maritim darat di Kuala Lipis kerana tumpuan sekarang untuk membantu rakyat pasca banjir.
“Walaupun badan kapal ditanggalkan sekumpulan individu bagi mengambil logam berharga seperti paku dan tembaga tetapi telah dikembalikan kepada polis.
“Kerajaan negeri menghargai perhatian pelbagai pihak termasuk polis yang mengawal lokasi kapal Bristish itu bagi mengelakkan lebih banyak artifak hilang,” katanya kepada pemberita selepas program gotong royong membersihkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mengkarak Bera di sini semalam.
Wan Rosdy turut berterima kasih kepada pelbagai pihak yang memberi tumpuan dan proaktif menjaga artifak berkenaan yang cukup berguna dalam memberi gambaran sebenar sejarah silam Lipis.
Sementara itu, laman sosial Facebook Majlis Daerah Lipis (MDL) pada 15 Januari lalu memaparkan mesyuarat penyelarasan penemuan kapal British berkenaan yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Lipis, Datuk Mohd. Hafizi Ibrahim.
Mesyuarat itu dihadiri Pesuruhjaya Warisan Jabatan Warisan Negara, Mesran Mohd. Yusof; Pengarah Bahagian Erkeologi, Ruzairy Arbi; Pengarah Bahagian Daftar Warisan, Johar Kadis; Pengarah Jabatan Warisan Negara Zon Timur, Mohd. Shukri Mohd. Isa; Penghulu Penjom, Arzahar Ismail dan Ketua Kampung Pagar, Abdul Khalid Abd. Manan.
Mesyuarat itu memutuskan Jabatan Warisan Negara akan membuat kerja-kerja menyelamat serpihan kapal dan ditempatkan di Muzium Warisan Lipis. -UTUSAN ONLINE