PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas Tugas Khas), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof disahkan negatif Covid-19 setelah mendapat keputusan ujian saringan semalam.
Menurut kenyataan Pejabat Menteri itu, beliau menjalani ujian saringan Covid-19 selepas mendapat makluman beliau menjadi kontak rapat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed yang positif.
Bagaimanapun, jelas kenyataan, kontak rapat kepada beliau dinasihatkan untuk tidak panik dan kekal tenang.
“Beliau turut menasihati agar semua kontak rapat kepada invidividu yang disahkan positif untuk membuat ujian saringan Covid-19.
“Orang ramai turut diseru supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti saranan kerajaan,” kata kenyataan itu hari ini.
Selain Mustapa, turut disahkan positif Covid-19 ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun. – UTUSAN