Mohd. Annuar dilantik Yang Dipertua MAIPk - Utusan Malaysia

Mohd. Annuar dilantik Yang Dipertua MAIPk

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah bersama anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) di Kompleks Islam Darul Ridzuan di Ipoh hari ini. - UTUSAN/GAMBAR IHSAN PEJABAT MB PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd. Annuar Zaini dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) yang baharu.

Pelantikan Mohd. Annuar berkuat kuasa 1 Januari lalu menggantikan penyandang sebelum ini, Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Wan Noordin.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Shahrul Azam Shaari berkata, Mohd. Annuar juga adalah anggota MAIPk yang dilantik sejak April 2008.

“Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengikut Seksyen 11, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2014 telah berkenan menyampaikan watikah pelantikan kepada Yang Dipertua MAIPk pada Majlis Penganugerahan Watikah Pelantikan Yang Dipertua dan Anggota MAIPk, Hakim Mahkamah Utama Syariah, Ahli Jawatankuasa Fatwa dan Ketua Pendakwa Syarie Negeri Perak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, seramai 19 anggota majlis bagi penggal 2021-2023 dilantik yang terdiri daripada lima Ex-Officio iaitu Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Negeri Perak (JAIPk), Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-undang Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak selain 10 anggota lantikan sebelum ini.

Beliau berkata, MAIPK diterajui anggota-anggota berwibawa yang berpengalaman luas serta mahir dalam pelbagai bidang serta disiplin ilmu membabitkan ahli korporat, ahli akademik, ahli undang-undang dan ahli hukum syarak.

“MAIPk berusaha untuk melaksanakan tanggungjawabnya iaitu untuk menggalakkan, mendorong, membantu dan mengusahakan kemajuan ekonomi dan sosial masyarakat Islam Perak selaras hukum syarak, ” katanya.

Turut menerima watikah lantikan daripada Sultan Nazrin ialah Hakim Mahkamah Utama Syariah Perak, Datuk Dr. Naim Mokhtar dan Ketua Pendakwa Syarie Perak, Mohd. Asri Mohamad Ghazali.

Selain itu, 10 Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak turut menerima watikah lantikan masing-masing. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN