MN tidak terkesan jika gagal didaftar - Utusan Malaysia

MN tidak terkesan jika gagal didaftar

MOHAMED Khaled Nordin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG – Kegagalan mendaftarkan nama Muafakat Nasional (MN) dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) tidak memberi kesan kerana wadah penyatuan Melayu dan Islam gagasan itu tetap diteruskan. 

Naib Pesiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, peranan serta fungsi MN tetap sama seperti biasa walaupun ia tidak didaftarkan. 

“Kita memang tidak daftar dan ini bukan perkara baharu, kita pun dah menang dalam 17 pilihan raya sebelum ini. Memang dari dulu ada perbincangan sama ada nak daftar atau tidak daftar, itu soal kedua.

“Kalau, berdaftar ia sudah jadi satu parti politik. Ini dari awal semua sudah menyatakan, tidak ada niat nak mewujudkan (MN sebagai parti politik). Walau apa bentuk MN, tidak akan ada yang bertanding melalui MN.

“Apabila berdaftar dan menjadi parti politik ia akan terhad. Kita tidak bergantung kepada pendaftaran,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Pasir Gudang di sini hari ini.

Rabu lalu, Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah memberitahu, MN tidak dapat didaftarkan kerana nama tersebut didakwa telah digunakan pihak lain dan perlu menukar nama lain jika mahu mendaftarkannya.

Mohamed Khaled berkata, walaupun tidak berdaftar MN akan meneruskan gagasan besarnya dalam menyatukanpadukan orang Melayu sebagai teras dalam negara majmuk termasuk melindungi kedudukan serta kepentingan Melayu dan Islam.  

“Maknanya kalau mana-mana pihak yang setuju teras politik negara adalah orang Melayu, dan Melayu sebagai teras dalam negara majmuk, maka Parti Amanah Negara (Amanah) atau Tun Dr Mahathir Mohamad boleh sokong MN. 

“MN tidak terhad kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sahaja, sesiapa pun boleh sokong MN dan ini termasuk DAP tetapi mereka kena bersetuju teras politik tersebut,” kata bekas Menteri Besar Johor itu.

Terdahulu ketika berucap, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang berkata, UMNO kini ketandusan pemimpin yang berpotensi dan berbakat sejak kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14. 

Tambahnya, kekurangan itu dapat dilihat di semua peringkat termasuk ada pemimpin yang lompat parti dan kelemahan tersebut berterusan selepas UMNO dapat menjadi kerajaan semula baru-baru ini. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya