MKN keluar notis amaran serangan 'Anonymous Malaysia' - Utusan Malaysia

MKN keluar notis amaran serangan ‘Anonymous Malaysia’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Satu notis amaran dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kepada semua agensi kerajaan sebagai langkah berjaga-jaga mencegah dan meminimumkan impak ancaman serangan siber.

Amaran menerusi Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) itu dilakukan selepas penularan satu video di media sosial dikeluarkan ‘Anonymous Malaysia’ baru-baru ini yang menyentuh beberapa isu serangan siber menjurus kepada ancaman untuk menggodam laman web kerajaan.

MKN dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya juga bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyelaras maklumat untuk tindakan lanjut.

Pada masa sama, jelas kenyataan itu, kerajaan sentiasa memandang serius, mengambil berat dan memberi keutamaan terhadap keselamatan infrastruktur teknologi maklumat serta sistem kritikal negara.

“Ia dengan menggariskan tindakan pengukuhan sistem teknologi maklumat termasuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pegawai berkaitan.

“Tindakan ini jelas digariskan menerusi Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) yang dilancarkan pada Oktober tahun lalu.

“Strategi ini menggariskan tindakan bagi mengukuhkan sistem ICT (teknologi komunikasi dan maklumat) serta sistem kritikal negara termasuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pegawai berkaitan,” jelas kenyataan itu.

Semalam, pengguna Facebook itu menerusi video dimuat naik berdurasi dua minit 29 saat antara lain mendakwa, serangan siber terhadap rangkaian data milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum ini berpunca kerana kerajaan tidak menyokong usaha membangunkan sektor teknologi maklumat.

Pengguna terbabit menegaskan perkara itu sudah berlarutan lama dan pihaknya akan kembali membuat kemunculan.

Pada 2015, Anonymous Malaysia menyatakan sokongan kepada gerakan Bersih 4.0 dan mengancam melancarkan serangan siber kepada kerajaan jika Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak tidak meletak jawatan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN