Misi prihatin bantu 106 mangsa banjir di Beluran - Utusan Malaysia

Misi prihatin bantu 106 mangsa banjir di Beluran

RONALD Kiandee (berdiri depan empat dari kiri) dengan sumbangan untuk keperluan mangsa banjir di Beluran, Sabah hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan meneruskan Misi Prihatin ke Sabah bagi meringankan beban penduduk terjejas banjir khasnya petani, penternak dan nelayan.

Program itu bermula hari ini di daerah Beluran dirasmikan Menterinya yang juga Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Beluran.

Bantuan yang berupa keperluan makanan diserahkan kepada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Sabah melalui PPK Beluran sebelum diagihkan pula kepada 106 ahli PPK Beluran.

“Mereka tinggal di Kampung Pinangkau, Sungai-Sungai dan Kelagan Jaya dengan misi ini merupakan tanggungjawab sosial korporat kementerian,” kata kenyataan kementerian di sini.

Sumbangan dikumpulkan dari pelbagai jabatan dan agensi kementerian antaranya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Turut terlibat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) serta Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA).

Pada majlis itu, Ronald turut menyampaikan replika kunci kenderaan pacuan empat roda, Toyota Single Cab sempena dengan Program Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat.

“Ia inisiatif di bawah Program Peningkatan Mobilisasi dan Logistik Bahan Makanan bernilai RM100,000 kepada PPK Beluran untuk kegunaan di lapangan,” kata kenyataan tersebut lagi.

Turut hadir pada acara tersebut ialah Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Labuk, Samad Jambri.

Misi Prihatin itu dilancarkan pada 21 Januari lalu di Wisma Tani Putrajaya melibatkan penghantaran bantuan keperluan makanan, barangan elektrik dan alat kelengkapan asas.

Ketika itu, misi berkenaan melibatkan empat kawasan parlimen di Pahang iaitu Lipis, Jerantut, Kuala Krau dan Maran sebelum diperluaskan lagi ke pelbagai tempat lain di seluruh negara.

Untuk Beluran pula, jumlah keseluruhan sumbangan yang diterima kementerian itu bernilai RM23,400 meliputi beras, minyak masak, tepung, gula, biskut, sardin, roti dan sebagainya.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN