SEREMBAN: Kerajaan perlu memastikan prinsip hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang terus terpelihara sepanjang tempoh darurat sehingga 1 Ogos ini.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, rasional pengisytiharan darurat seperti dikemukakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah hanya untuk mengurus pandemik Covid-19.
Sehubungan itu, katanya, segala kuasa di bawah Ordinan Darurat hendaklah bertumpu kepada urusan pengawalan wabak tersebut.
“Sepanjang tempoh darurat, kita berharap prinsip hak asasi manusia, kebebasan sivil, ketelusan dan kedaulatan undang-undang mestilah tetap dipelihara. Usaha mestilah dilakukan untuk segera mengembalikan dan memulihkan fungsi Perlembagaan dan amalan demokrasi berparlimen ke tempat asalnya,” katanya.
Mohamad berkata demikian dalam kenyataan menerusi akaun Facebook miliknya hari ini.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos ini atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif pandemik Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.
Perkenan tersebut diberikan selepas Muhyiddin menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet dan mengambil kira rundingan Seri Paduka Baginda dengan Raja-Raja Melayu semalam. -UTUSAN ONLINE